Sunday, December 7, 2008
Cina Islam rasmi debat Melayu.
PARIT BUNTAR, 6 Dis :- Debat Perdana secara tertutup yang diadakan di Parit Buntar anjuran Pejabat Agama Daerah Parit Buntar dan Persatuan Pegawai Ugama Perak telah berjalan dengan lancar dengan dihadiri oleh hampir 2000 orang penduduk sekitar dan 3 buah bas penyokong dari Panel Debat Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Tajuddin Abdul Rahman. Panel lain ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof dan Naib Presiden Teras, Hafiz Mustafa Lubis.
Debat dengan tajuk "Melayu , Kemana hala tuju" tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Drs. Khalil Idham Lim yang mewakili YAB Menteri Besar Perak yang berhalangan untuk hadir.
Debat dengan tajuk "Melayu , Kemana hala tuju" tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Drs. Khalil Idham Lim yang mewakili YAB Menteri Besar Perak yang berhalangan untuk hadir.
Beberapa orang yang hadir mengatakan Perasmi yang merasmikan program sangat sesuai kerana berketurunan cina sedang tajuk yang diperdebatkan adalah isu Melayu.
Berikut adalah ucapan perasmian Drs. Khalil Idham Lim:-
Kita bersyukur ke Hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya memberikan kekuatan kepada kita untuk berada di dalam majlis yang amat besar maknanya pada malam ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penganjur iaitu Pejabat Agama Daerah Parit Buntar dan Persatuan Pegawai-Pegawai Ugama Negeri Perak yang sudi memberi ruang waktu untuk saya berucap sepatah dua seterusnya merasmikan program ini pada malam ini.
Juga terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak terutamanya Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kerian serta semua agensi yang terlibat membantu dalam memastikan kejayaan program ini.
Sekalung tahniah kepada semua Ahli Panel yang sudi menyahut jemputan dari pengajur dalam program yang julung-julung kali diadakan di Perak dan Parit Buntar ini
Allah swt menyatakan dalam Al-Quran :
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
Inilah 3 kaedah dakwah yang diajarkan sendiri oleh Allah swt agar Umat Islam sentiasa menggunakannya dari masa ke semasa. Sebahagian manusia memerlukan nasihat yang baik untuk mengingatkan mereka mengenai kesilapan yang mereka lakukan. Sebahagian yang lain memerlukan kaedah yang berbagai samada lembut atau keras berasaskan hikmah dan kebijaksanaan. Namun ada insan-insan yang mempunyai keistimewaan dengan di anugerahkan akal pemikiran yang tajam serta lidah yang fasih untuk berbahas. Namun perbahasan yang dilakukan hendaklah dengan cara yang baik dan beradab sopan.
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam Kitabnya Ayyuhal Walad, menasihatkan :
Seboleh-bolehnya tinggalkanlah perdebatan kerana ianya boleh membawa kepada riya’, hasad, takabbur, ujub dan sebagainya. Namun jika kamu terjerumus ke kancah perdebatan maka hendaklah ikhlaskan niat di hati bagi menzohirkan kebenaran. Niat yang ikhlas ini boleh dikesan melalui 2 tanda iaitu pertamanya ; kamu tidak membezakan samada kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu ataupun lidah lawan debatmu. Keduanya; Kamu lebih menyukai jika debat itu diadakan dalam tempat yang tertutup tanpa dilihat oleh orang yang begitu ramai.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah melafazkan kata-kata :
...negara ini ialah sebuah negara Melayu, tetapi terpulanglah kepada orang Melayu sendiri memainkan peranan yang cergas untuk merebut peluang pada masa hadapan. Sambil itu mereka mestilah sentiasa ingat bahawa Perlembagaanlah yang dapat menjamin keselamatan dan kemajuan kita semua."
Walaupun ungkapan ini tidak bermaksud menafikan hak kaum lain sebagai rakyat di Negara ini, namun ianya memberikan gambaran betapa besarnya peranan orang Melayu dalam Negara yang dulunya disebut sebagai Tanah Melayu. Jaminan keselamatan dan kemajuan Negara seluruhnya sentiasa dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun kehebatan dan kegagahan sesuatu kaum itu, amat bergantung kepada bagaimana cergasnya mereka dalam merebut peluang yang ada dari masa ke semasa.
Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputra. Artikel memperuntukkan bagaimana kerajaan pusat harus melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu.
Walaupun dari sudut perundangan, kedudukan orang Melayu tidak boleh dipertikaikan, namun masa depan orang Melayu sebenarnya lebih banyak bergantung kepada daya tahan mereka dalam persaingan semasa. Sikap permusuhan dan pertelagahan sesama bangsa tidak akan membantu usaha meninggikan martabat orang Melayu. Usaha menyatupadukan bangsa Melayu hendaklah diteruskan dari masa ke semasa bagi mencari titik temu melalui persamaan yang ada dalam masa yang sama mengurangkan perbezaan sedia ada.
Perlembagaan Malaysia telah memberikan takrif yang jelas terhadap makna Orang Melayu. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan telah menakrifkan orang Melayu sebagai;
1. Seseorang yang menganuti agama Islam
2. Lazimnya bercakap Bahasa Melayu
3. Menurut adat istiadat Melayu
4. Lahir sebelum Hari Merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau ibu dan bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
5. ia adalah berketurunan seseorang yang tersebut.
Tidak ada jaminan dari Allah untuk menjamin mana-mana bangsa untuk kekal selama-lamanya. Sejarah dunia memperlihatkan Kaum Ad, Kaum Tsamud dan sebagainya yang jauh lebih gagah dan hebat daripada bangsa-bangsa yang ada hari ini, telah lenyap dari peta dunia seluruhnya. Kita hanya ada Al-Quran dan ajarannya yang dijamin kekal oleh Allah. Maka akan pasti kekallah mereka yang berpegang teguh dengannya. Firman Allah dalam Surah Al-Hijr ayat 9 :
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.
Jika Melayu berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran, maka yakinlah Allah akan mengekalkan ketuanan Melayu sebagaimana kekalnya Al-Quran dan ajarannya.
Semuga debat yang diadakan ini menjadi medan untuk mencari titik temu dan suatu kesinambungan untuk menyelamat suatu bangsa yang kita kasihi ini.
sumber : cina islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment