Saturday, December 20, 2008

Perak Mampu Bekal Air Bawah Tanah Mulai Tahun Depan

IPOH, 17 Dis Perak telah mengesan sumber air bawah tanah yang mampu menghasilkan kira-kira 500 juta liter air sehari di Daerah Batang Padang bagi kegunaan komersil, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata sumber air berkenaan dikesan oleh Sime Darby Bhd yang telah menggali sebanyak 97 telaga di kawasan berkenaan sejak tahun lepas."Sime Darby mendapati jumlah air bawah tanah yang terdapat di kawasan Batang Padang ini boleh dikeluarkan sebanyak 500 juta liter," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dari Sime Darby mengenai operasi pengkajian dan potensi air bawah tanah di Batang Padang, Rabu.

Turut hadir pada sesi taklimat ialah Presiden Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.Menteri Besar berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Air Perak (LAP) akan bekerjasama dengan syarikat berkenaan dalam usaha mengeluarkan air bawah tanah dan cadangan menyalurkannya ke Selangor.

"Semua agensi teknikal kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada Sime Darby untuk memastikan sasaran mengeluarkan air bawah tanah sebanyak 500 juta liter setiap hari ini berjaya... Air ini kemudiannya akan digunakan melalui LAP melalui perjanjian atau dibekalkan terus kepada kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut berpuashati dengan teknologi terkini yang diperkenalkan oleh Sime Darby dalam usaha pengeluaran air bawah tanah kerana ia menepati syarat-syarat yang dikenakan Jabatan Alam Sekitar.Teknologi dari Eropah itu digunakan meluas di Jerman, Denmark dan Switzerland, katanya.

Mohammad Nizar sementara itu mengumumkan bahawa pengeluaran air bawah tanah secara komersial terhad kepada telaga yang mampu mengeluarkan air lebih 0.5 juta liter sehari kerana telaga yang kapasitinya kurang daripada itu akan diserah kepada penduduk tempatan bagi kegunaan mereka kerana ia tidak komersial.Beliau berkata jika projek berkenaan berjalan mengikut jadual, telaga pertama yang mengeluarkan 50 juta liter air sehari dijangka beroperasi penghujung tahun depan manakala tahap pengeluaran 500 juta liter sehari pula akan dicapai pada akhir 2010.-misabah.blogspot.com

1 ulasan:

- sharuLcyber- said...

tak ada masalah di kemudian hari ke?
saya pernah terbaca satu artikel tapi dah tak ingat di mana. Tanah akan mendap sekiranya air bawah tanah di ambil secara berlebihan.