Tuesday, April 14, 2009
Keputusan Zambry cabar Sivakumar esok (Hari Ini)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan esok untuk memberikan keputusan sama ada Menteri Besar Perak rampasan kuasa , Zambry Abdul Kadir, dan enam ahli Exco telah menggunakan cara yang betul untuk mencabar penggantungan mereka oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar.
Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujahan daripada kedua belah pihak hari ini.
Keputusan ini dilihat akan memberi impak yang besar kepada kedudukan politik di negeri Perak setelah beberapa bulan menghadapi apa yang dinamakan krisis perlembagaan setelah berlaku satu kudeta oleh pemimpin BN.
Peguam yang mewakili Sivakumar, Sulaiman Abdullah mengemukakan bantahan awal bahawa mahkamah tidak patut melayani permohonan mereka kerana saman terhadap Sivakumar tidak mematuhi prosedur.
Zambry dan enam anggota majlis itu telah memohon supaya saman mereka terhadap Sivakumar dirujuk ke mahkamah tertinggi mengikut Perkara 63, Undang-undang Tubuh Negeri Perak 1957 untuk penentuan dan untuk sama ada bagi pembatalan kes atau dirujuk ke mahkamah lain bagi pembatalan mengikut penentuan itu.
Pada awal prosiding, mahkamah menolak bantahan awal Sivakumar supaya kes itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi Ipoh.
Sulaiman berhujah mahkamah tidak sepatutnya melayani permohonan Zambry untuk merujuk kes berhubung isu perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan kerana saman itu masih menungggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan permohonan Sivakumar untuk menggugurkan saman itu.
Bagaimanapun, Hakim Alauddin yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, memutuskan mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Zambry walaupun saman induk masih menunggu perbicaraan.
Pada 2 Mac lalu, Zambry dan enam anggota majlis berkenaan - Zainol Fadzi Paharuddin, Ramly Zahari, Hamidah Osman, Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Mah Hang Soon - memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi diisytiharkan yang keputusan Sivakumar menggantung mereka daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah dan batal.
Dalam saman pemula, mereka mendakwa penggantungan bagi tempoh antara 12 dan 18 bulan itu adalah melanggar perlembagaan negeri.-cinaIslam
0 ulasan:
Post a Comment