Tuesday, January 20, 2009

Pemberhentian Pekerja Kilang Di Perak Dijangka Serius

IPOH, 19 Jan -Masalah pemberhentian pekerja sektor perkilangan di Perak dijangka serius terutama yang melibatkan sektor pembuatan dan pasaran eskport, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan negeri mendapatkan khidmat beberapa pakar untuk memberikan nasihat bagi menangani masalah yang akan berlaku akibat kesan kemelesetan ekonomi dunia yang semakin dirasai kini.
"Kerajaan negeri terpaksa menangani masalah pemberhentian pekerja ini walaupun sebahagian besar daripada mereka adalah pekerja asing seperti dari Nepal dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak di sini, Isnin.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan jumlah pekerja sektor perkilangan di Perak yang bakal terjejas akibat penutupan kilang-kilang yang beroperasi di negeri ini.

Kerajaan negeri juga telah merangka beberapa langkah bagi membantu pekerja sektor perkilangan dari kalangan rakyat Perak yang dijangka turut terjejas dengan keadaan itu, katanya.

"Satu daripadanya ialah kita mahu semua PBT memberikan kelulusan segera kepada rakyat Perak terbabit yang memohon premis perniagaan untuk memulakan perniagaan," katanya.

Mengenai kakitangan kerajaan negeri yang bertaraf kontrak, Mohammad Nizar berkata setakat ini belum ada yang diberhentikan.

"Tidak ada keperluan untuk membuang pekerja kontrak kerajaan negeri pada ketika ini. Khidmat kesemua mereka diperlukan dan kerajaan negeri masih berkemampuan untuk meneruskan khidmat mereka," katanya.-- BERNAMA - alhusseyn.blogspot.com

1 ulasan:

leaflizard said...

ye DSIRN.

saya punya kilang dah teruk la DSIRN.

macam mana ni.

redho aje la...