Wednesday, January 7, 2009
Sime Darby batal hasrat ambil alih IJN
KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd hari ini mengumumkan yang ia tidak akan meneruskan rancangannya untuk menguasai kepentingan ekuiti dalam Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam satu kenyataan di sini, konglomerat itu menyatakan bahawa keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira sentimen awam dan maklum balas yang diterima berhubung cadangan itu.
Tindakan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan menangguhkan keputusan untuk membenarkan Sime Darby memulakan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN.
"Kami merupakan syarikat yang pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat Malaysia dan kami perlu menghormati hasrat rakyat untuk IJN kekal dalam struktur sedia adanya," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden kumpulan Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.
"Kami percaya bahawa pelaburan yang berterusan dalam penjagaan kardiovaskular adalah penting kerana ia merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dan satu daripada sebab utama kematian di Malaysia," kata Ahmad Zubir.
"Perkongsian dengan IJN akan menjadi gabungan yang memberi manfaat yang besar kepada kami, IJN, mereka yang berkepentingan dan orang ramai dan atas dasar inilah kami menyatakan hasrat kepada kerajaan mengenai kemungkinan perkongsian dengan IJN," katanya.
Menurut Sime Darby, ia menulis kepada kerajaan pada Ogos tahun lepas bagi menyatakan minat untuk menjalin pakatan yang akan memberi faedah bersama dalam melebarkan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare dan IJN.
"Perkongsian sedemikian akan membawa bersama kedudukan IJN sebagai peneraju dalam penjagaan kardiovaskular dan torasik dan kepakaran Sime Darby Healthcare dalam penjagaan kesihatan tinggi swasta," kata Ahmad Zubir.
"Rancangan Sime Darby Healthcare adalah untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang perubatan seperti kanser, jantung dan neurologi di Malaysia dan seberang laut," katanya.
Menurut Ahmad Zubir, bagi projek IJN, Sime Darby sentiasa mengambil kira kebajikan dan kepentingan golongan mereka yang kurang berkemampuan, satu pendekatan sejajar dengan falsafah syarikat terhadap tanggungjawab sosial.
Beliau berkata beliau kekal yakin mengenai prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus meninjau peluang untuk pengembangan dan menjadikan Sime Darby Healthcare sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan standard emas di rantau ini.
IJN mempunyai reputasi sebagai pusat jantung utama dan telah memberi rawatan kepada berjuta pesakit termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai hospital separa kerajaan, ia menyediakan rawatan perubatan kelas pertama di bawah kadar pasaran dengan bayarannya dikawal oleh kerajaan. BERNAMA-ajijoi.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment