Thursday, December 11, 2008

Kursus celik IT bersama masyarakat kampung

PARIT BUNTAR, 11 Dis. : Ketua Kampung dan JKKK dalam Mukim Kuala Kurau akhirnya berpeluang mempelajari asas-asas menggunakan komputer apabila kerajaan negeri mengadakan Kursus Celik IT bersama masyarakat kampung di Parit Haji Tahir.

Kemahiran asas komputer amat diperlukan oleh JKKK bagi melancarkan urusan pentadbiran kampung. Kursus Celik IT yang diadakan selama dua hari ini bukan sahaja memberi latihan kepada JKKK Mukim Kuala Kurau malah masyarakat kampung yang ingin mempelajari penggunaan komputer.


Menurut Ketua Kampung Parit Haji Tahir Haji Ahmad Tyndareus Haji Awang, kursus ini telah diusahakan oleh ADUN Kuala Kurau En. Mohd Yunus Jamhari yang membuat permohonan kepada kerajaan negeri.

" Kami cuma kemukakan cadangan kepada ADUN Kuala Kurau. Terima kasih kepada YB Kuala Kurau yang panjangkan cadangan kami" Jelasnya.

Beliau berharap kursus ini dapat membantu JKKK yang belum mahir menggunakan komputer mempelajarinya dari tenaga pengajar kursus yang merupakan kakitangan IT kerajaan negeri.

Sementara itu, ADUN Kuala Kurau En. Mohd Yunus Jamhari juga akan mengusahakan semua Ketua Kampung dalam DUN Kuala Kurau diberi sumbangan satu set komputer bagi memudah urusan mereka. Buat permulaan beliau akan menyumbang komputer kepada beberapa Ketua Kampung yang amat memerlukan komputer.

Turut hadir ke kursus ini ialah Pegawai Pejabat Parlimen En. Bahrain bin Desa yang mewakili Ahli Parlimen Parit Buntar.
http://paritbuntar.pas.org.my/

0 ulasan: