Tuesday, December 30, 2008

Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak.

Ipoh 29 Disember 2008 : Raja Muda Dr Nazrin Shah telah merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak bagi tahun 1430 Hijrah di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridhuan.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar serta isteri, Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir. Hj Mohammad Nizar serta isteri, Exco Agama Islam Perak, YB Zainuddin serta isteri dan juga beberapa Adun beragama Islam serta Ketua-ketua Jabatan.


Menurut titah baginda, bahawa kemelut ekonomi kini adalah berpunca dari himpunan pelbagai aktiviti yang telah sekian lama berunsur destruktif, dari segi salah pengurusan, dari segi pecah amanah, dari segi salah keutamaan menyalurkan sumber kekayaan anugerah ILAHI.
“ Dunia menyaksikan bagaimana sumber kekayaan lebih banyak dibelanjakan bagi tujuan membina kekuatan persenjataan dan kekuatan ketenteraan untuk membolehkan negara kaya dan negara maju melakukan serangan terhadap negara lain, berselindung atas topeng demokrasi – berselindung atas hasrat melaksanakan keadilan,” titah baginda.

“Suasana ekonomi yang muram ini adalah peringatan ILAHI kepada umat manusia.Bertapa manusia terutama meraka yang diamanahkan kuasa, wajib menginsafi akan tanggung jawab utama menyempurnakan tugas terhadap manusia dan melaksanakan keadilan terhadap alam.Betapa sebahagian meraka yang berkuasa dan berjawatan terlalu asyik dan mabuk dengan kuasa, bersifat tamak dan berlagak angkuh sehingga kuasa sering kali disalahgunakan hingga menjadi punca kepada berlakunya pelbagai bencana,” tambahnya lagi.

Baginda berpendapat , tentang perlunya bagi negara memerlukan instrumen berkesan yang berupaya memantau sebarang penyalahgunaan kuasa.Negara juga perlu mengambil langkah-langkah tepat memenuhi tuntutan warga yang berkehendakkan takbir urus yang telus dan sifar rasuah, dengan didukung oleh sistem kehakiman yang adil, yang akan dicapai jika para hakim terdiri dari kalangan meraka yang berintegriti tinggi.

“Apa juga instrumen perundangan dan penguat kuasaan yang diperkenalkan hendaklah secara bersungguh diterjemahkan dalam bentuk tindakan.Jika tidak terbukti dalam satu kesungguhan di peringkat tindakan, maka apa jua instrumen perundangan dan penguatkuasaan yang diperkenalkan,tidak dapat memberikan keyakinan kepada warga,” jelas baginda.

Baginda telah menyarankan beberapa saranan seperti berikut :

“Tahun 1430 Hijrah hendaklah dimulakan dengan gerakan membina keyakinan.Tahun 1430 Hijrah, hendaklah dimulakan dengan azam untuk membuktikan kesungguhan negara dalam membina warga yang bermaruah dan berintegriti tinggi,”

“Tahun 1430 Hijrah hendaklah ditumpukan kepada gerak kerja pembangunan, membebaskan negara secepat mungkin dari kemelut dan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia.”

“Tahun 1430 Hijrah hendaklah dijadikan tahun yang para pemimpin kurang berpolemik dan kurang berpolitik; kurang bercanggah dan kurang bertelagah.”

“Pada hemat Beta, ada kalanya kegiatan politik yang berketerlaluan bukan sahaja tidak produktif tetapi bersifat ‘counter’ produktif.Ini bukan lagi masanya untuk mencari salah, ini adalah masa untuk melakukan pembetulan.”

“Tahun 1430 Hijrah hendaklah tahun yang mencerminkan negara memiliki kekuatan untuk bertindak tegas memerangi rasuah.”

“Tahun 1430 Hijrah hendaklah dijadikan tahun keramat membuktikan keberanian negara melaksanakan keadilan – menjatuhkan hukuman kepada mereka yang telah menodai amanah, kepercayaan dan tanggung jawab.”

“Tahun 1430 Hijrah juga hendaklah dijadikan tahun rakyat membuktikan kejujuran dan keikhlasan dan selaras dengan ajaran islam, bersedia melakukan sifat bermuhasabah, memperlihatkan semangat ‘self accountability’ yang tinggi secara rela mengundurkan diri dari memegang amanah – secara rela meletakkan jawatan apabila nama baik telah tercalar atau tercemar.”

Seterusnya baginda menyeru agar tahun 1430 Hijrah dijadikan sebagai sebagai tahun negara dan warga melakukan penghijrahan minda, penghijrahan budaya, penghijrahan sikap dan penghijrahan niat untuk secara bersungguh-sungguh membina sebuah negara bangsa yang gemilang, negara bangsa yang berintegriti, negara bangsa yang dihormati.

Diakhir acara majlis, Nazrin telah berkenan untuk menyampaikan anugerah Maal Hijrah tahun ini.Al Fadhil Ustaz Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430H bagi tahun ini.Manakala Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah tahun ini.-al-Hussyen.blgspot.com.

0 ulasan: