Monday, December 8, 2008

PAS tidak akan tinggal prinsip dan matlamat perjuangan.

TAIPING, 6 Disember : - PAS tidak sekali-kali akan meninggalkan prinsip dan matlamat perjuangan asal jemaah walaupun telah memerintah beberapa negeri atau negara bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat. Demikian antara isi ucapan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Ahmad Awang dalam progam bulanan Liqaul Fikr di Markaz Tarbiyyah PAS Negeri di Air Kuning, dekat Taiping. Matlamat utama Parti Islam SeMalaysia ialah menegakkan syariat Allah SWT di negara ini.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS telah menegaskan bahawa malah prinsip dan matlamat suci ini telah menjadi asas kepada pentabiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat. Melalui peranan sama ada oleh Menteri Besar atau exco kerajaan negeri di kalangan PAS, prinsip Islam yang syumul ini sering menjadi agenda utama dalam mesyuarat kerajaan negeri. Apa yang membanggakan, ia telah diterima baik oleh rakan-rakan dalam PR terutamanya DAP.

Beliau berkata, dengan pelantikan Menteri Besar di kalangan pimpinan PAS Perak merupakan satu kemenangan besar kepada parti Islam seluruhnya, kerana PAS telah diiktiraf oleh parti-parti lain dalam PR.


Sehubungan dengan itu, beliau menyeru kepada semua pimpinan PAS kawasan agar lebih menggiatkan lagi usaha dengan berperanan menjadi penyambung usaha kerajaan negeri agar segala mesej, dasar dan program kerajaan negeri akan sampai ke masyarakat dengan cara yang amat baik.
"Elakkan daripada terjebak dengan perangkap musuh terutamanya BN/UMNO yang selalu memainkan isu agama dan ketuanan Melayu. Sekarang, terdapat trend BN/UMNO menggunakan NGO's untuk menfitnah dan mentohmah kerajaan PR negeri Perak, " jelas beliau lagi.
Akhirnya, beliau menyeru agar pimpinan segenap lapisan menyambung hasrat PAS Pusat untuk menambahkan ahli dan cawangan. Mana-mana cawangan yang hampir mati perlu dihidup dan diaktifkan semula. Perkara tersebut akan dilakukan melalui program pemutihan ahli dan cawangan yang akan dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Pemerkasaan Parti PAS Pusat.

Program bulanan Liqaul Fikr PAS Perak ini telah dihadiri oleh semua pimpinan PAS negeri, kawasan dan dewan-dewan. Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Nizar Jamaluddin turut menunaikan tanggungjawab parti hadir sama. YB Ustaz Taib Azzamuddin (Ahli Parlimen Baling/AJK PAS Pusat) telah menjadi naqib jemputan bagi bulan ini.

InsyaAllah, Liqaul Fikr bulan depan akan diadakan pada 3 Januari 2009 di mana naqibah jemputan ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh.

http://intanhijau.blogspot.com/

1 ulasan:

BumiPerak said...

Assalamualaikom... Webmaster
Harap dapat siarkan Carta organisasi Terkini Pas Negeri Perak untuk tatapan Umum bermula PesuruhJaya hingga Jawatankuasa Lujnah-lujnahnya..
bumiperak