Monday, December 15, 2008

Siasah tembusi tembok Pakatan, BN - Adun

PULAU PANGKOR, 14 Dis - Sebagai persediaan awal bagi menghadapi suasana politik yang semakin mencabar, akhbar oposisi, Siasah mengadakan bengkel selama tiga hari di sini, bermula semalam.

Seramai 50 petugas Siasah bersama keluarga bermukim di Pulau Pangkor sehingga esok bagi mencari langkah terbaik untuk meningkatkan lagi akhbar tersebut menghadapi tahun 2009.

Ketua Pengarang Siasah, Mohd Sayuti Omar berkata, pemukiman kakitangan dan keluarga akhbar tersebut yang turut membabitkan pemberita sambilan diharap dapat merumus halatuju yang lebih jelas bagi menghadapi cabaran semasa.

"Kalau sebelum ini akhbar oposisi tidak banyak yang bersaing di pasaran, namun sekarang sudah lahir beberapa akhbar alternatif yang turut bersaing sesama sendiri dan akhbar harian," katanya di majlis perasmian bengkel tersebut di sini.

Perasmiannya disempurnakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Khalil Idham Lim Abdullah yang juga Adun Titi Serong.

Khalil Idham berkata, akhbar Siasah kini diterima seluruh rakyat samada penyokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional bagi mendapat maklumat politik semasa.

"Saya berharap akhbar ini dapat memainkan peranan merealisasikan kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan di lima negeri. Ini kerana tugas itu tidak boleh diharapkan kepada media harian yang lebih mesra dengan kerajaan BN.

"Malah media harian menjadikan Pakatan Rakyat sebagai sasaran dengan membongkar segala kelemahan pentadbiran negeri," ujar beliau.

Pada majlis itu beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada pengurusan Siasah kerana memilih Perak sebagai tempat pemukiman kakitangan editorial bagi meningkatkan lagi prestasi akhbar terbabit.

ADUN Titi Serong, YB DRs.Khalil Idham Lim bersama petugas Siasah

Menurutnya, kehadiran ramai kakitangan Siasah secara tidak langsung dapat meningkatkan sektor pelancongan di Perak.-HarakahDaily.

0 ulasan: