Friday, December 12, 2008

MAJLIS PERJUMPAAN DAN TAKLIMAT DENGAN KETUA KAMPUNG DAN SETIAUSAHA JKKK

TELUK INTAN, 10 Dis ; - PAS Kawasan Teluk Intan telah bertindak proaktif apabila mengadakan perjumpaan serta taklimat bersama ketua-ketua kampung dan setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) baru-baru ini di Markaz PAS Kawasan, Kg. Padang Tembak. Pengerusi dan Setiausaha JKKK yang dijemput adalah JKKK yang berada di bawah DUN Changkat Jong.

Sebanyak 13 kampung yang telah terlibat antaranya Kg. Padang Tembak, Kg. Bahagia, Kg. Banjar, Batak Rabit, Sungai Kerawai, Sungai Tungku, Kg. Sungai Samak, Pulau Ganda Suli, Kg. Sungai Cawang, Kg. Changkat Jong dan Kg. Air Hitam.

Antara objektif perjumpaan tersebut ialah mendedahkan kepada ketua-ketua kampung tentang prosedur permohonan bantuan yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, berkenal-kenalan dengan pimpinan PAS kawasan, serta berkongsi pendapat dan pengalaman sesama JKKK untuk faedah bersama dan sebagai saluran JKKK menyuarakan pelbagai masalah kepada pihak ADUN dan pimpinan kawasan.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh semua ahli dewan harian kawasan termasuklah ADUN Changkat Jong, YB Haji Mohd. Anuar Sudin merangkap Bendahari kawasan dan Pembantu Khas ADUN, iaitu Tuan Haji Mohammed Akram.

Di dalam ucapan aluan, Yang Di Pertua PAS Kawasan Ustaz Haji Ismail Che Nik telah menyatakan betapa pentingnya pihak Ketua Kampung dan JKKK memainkan peranan aktif dalam melaksanakan segala tanggunjawab mereka. Ini adalah kerana, Ketua Kampung dan JKKK merupakan salah satu jentera kerajaan negeri yang dekat dengan rakyat. Tanpa kerjasama erat dan padu daripada ketua kampung dan JKKK kemungkinan hasrat kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengadakan program pembangunan akan terbengkalai.

"Elakkan kebergantungan seratus peratus kepada kerajaan negeri sehinga menyebabkan pihak JKKK kekurangan idea dan tidak kreatif dalam merancang pembangunan dan kebajikan rakyat, " jelas beliau lagi.

Beliau juga menasihati perlunya ketua kampung mempunyai tamayyuz atau perbezaan dengan ketua kampung lama (BN) kerana sekarang mereka di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, terutama Parti Islam Semalaysia (PAS). Beliau juga menyeru semua ketua kampung agar dapat menghadiri program Liqa al Fikri anjuran PAS negeri yang diadakan secara bulanan agar mereka mendapat gambaran yang jelas tentang perjuangan PAS sebenar.

Majlis dimulai dengan taklimat khas oleh Tuan Haji Mohamed Akram, Pembantu ADUN. Beliau menyampaikan taklimat tentang peluang, ruang dan prosedur permohonan bantuan bagi Jabatan Kebajikan Masyrakat dan Pejabat Agama Daerah yang mana kebanyakan Ketua Kampung masih kekurangan kefahaman tentang perkara tersebut.

Taklimat tersebut telah memberikan gambaran jelas berkenaan dengan bagaimana ketua kampung dapat berperanan dalam mendapatkan bantuan untuk masyarakat kampung yang mengalami malapetaka, bencana alam, kemiskinan dan sebagainya.

Seterusnya, pejabat ADUN Changkat Jong dan PAS Kawasan juga telah mengeluarkan borang bancian penduduk DUN Changkat Jong. Taklimat telah disampaikan oleh Setiausaha PAS Kawasan, Sdr. Mohd. Farid Al Jarumi.

Akhir sekali, sesi dialog telah diadakan di mana kebanyakan soalan berkisar tentang peranan ketua-ketua kampung serta masalah yang mereka hadapi. Di samping itu, setiap ketua kampung telah memberikan laporan tentang perkembangan JKKK kampung masing-masing. Semoga, program seperti ini dapat dilaksanakan secara berkala.
http://intanhijau.blogspot.com/

0 ulasan: